Wednesday, December 15, 2010

WHY?






Rasulullah (SAW) bersabda:
"Islam bermula sebagai sesuatu yang asing
dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya,
jadi berilah khabar gembira kepada orang asing itu!"

SALAM PENUH KECERIAAN

Hot Comments
Comments Graphics

Wednesday, December 8, 2010

BAHAYA MENINGITIS KEPADA KANAK-KANAK

Ibu-ibu yang melahirkan mesti tahu tentang meningitis ni kan.
Sebab tu setiap ibubapa dipastikan mengambil suntikan pencegah meningitis ini
kepada setiap anak mereka sewaktu masih kecil lagi.
Kalau di hospital swasta beratus jugalah kena setiap kali mendapatkan
suntikan ini.


BAHAYA MENINGITIS KEPADA KANAK-KANAK:

SIKAP ibu bapa yang tidak memberikan perhatian serius sekiranya anak-anak mereka menangis mungkin akan memberi kesan jangka panjang kepada anak itu sendiri.

Ini kerana kebanyakan ibu bapa mentafsirkan tangisan anak lebih-lebih lagi bayi adalah berpunca daripada rasa tidak selesa, ingin membuang air besar, demam biasa dan sebagainya.

Tanpa mereka sedari, bahawa anak yang menangis terutamanya disertai dengan nada tinggi dan berlarutan mungkin disebabkan oleh penyakit meningitis yang dihidapi oleh anaknya.

Menurut Pakar Perunding Kanak-kanak, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Ismail, meningitis adalah jangkitan kuman ke atas selaput otak dan ia merupakan satu keadaan kecemasan perubatan.

Beliau berkata, terdapat dua kumpulan utama meningitis iaitu yang disebabkan jangkitan bakteria dan disebabkan jangkitan virus. ''Meningitis yang disebabkan bakteria lebih berbahaya walaupun ia boleh dirawat dengan ubat-ubat tertentu.

''Sebaliknya meningitis yang disebabkan jangkitan virus tidak mempunyai ubat-ubat tertentu dalam merawatnya,'' jelasnya.

Kata beliau, ia berlaku kerana jangkitan yang melibatkan selaput otak yang dipanggil 'meninges' menjadi radang disebabkan kuman bakteria.

Menurut beliau lagi, ibu bapa agak sukar untuk mengenal pasti penyakit ini kerana pada permulaan penyakit itu anak mereka mungkin cuma akan mengadu demam dan sakit kepala sahaja.

Kata beliau, anak yang berusia kurang daripada dua tahun hanya demam dan menangis sahaja kerana mereka tidak dapat memberitahu kesakitan mereka yang sebenar.

''Penyakit meningitis ini boleh menyerang semua lapisan umur.

Kesan buruk

''Bagaimanapun, meningitis akan lebih berbahaya sekiranya menyerang kanak-kanak atau bayi,'' jelasnya.

Menurut beliau, meningitis yang teruk dan dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan kesan buruk seperti lumpuh, cacat, kerencatan akal, pekak atau kurang penglihatan.

Lebih teruk kata beliau, meningitis yang tidak dirawat boleh membawa maut.

Katanya, kebanyakan anak yang menghidap meningitis dijangkiti daripada adik-beradik, ibu bapa, saudara-mara serta rakan-rakan yang berada di rumah atau datang melawat.

Menurut beliau lagi, mereka ini mungkin hanya selesema atau batuk sedikit tetapi anak boleh dijangkiti dan kuman merebak dari saluran pernafasan ke selaput otak.

JENIS BAKTERIA PEMBAWA MENINGITIS

Tiga jenis bakteria yang kerap didapati menyebabkan meningitis:

* Streptococcus pneumoniae
* Hemophilus influenzae
* Neisseria meningitidis

Bagaimanapun bakteria lain juga boleh menyebabkan meningitis berlaku.

TANDA-TANDA MENINGITIS

Tanda-tanda berlakunya meningitis banyak bergantung kepada jenis bakteria.

Sebagai contoh jika ia disebabkan oleh bakteria jenis streptococcus pneumoniae, seseorang itu akan mengalami batuk selesema selama seminggu sebelum demam tinggi dan sawan.

Bagaimanapun antara tanda-tanda seseorang itu mendapat meningitis pada peringkat awal termasuklah:

* Sawan
* Tidur sepanjang masa
* Sakit kepala (jika anak boleh memberitahu sakit)
* Kurang selesa
* Enggan minum
* Menangis sepanjang masa
* Bunyi tangisan berbeza sebaliknya bernada tinggi
* Muntah
* Lemah
* Mendapat ruam seperti lebam-lebam
* Tidak sedarkan diri
* Tidak tahan dengan cahaya lampu

Jika anak berumur kurang dua tahun, agak sukar untuk menentukan sama ada anak terkena meningitis atau penyakit lain.

Sebaliknya jika anak berusia lebih dua tahun, penyakit ini boleh dikesan melalui tengkuknya yang tegang dan mereka mengadu kesakitan apabila tunduk.

Kadang-kadang mereka juga boleh memberitahu sakit kepala.

KOMPLIKASI

Komplikasi awal pada masa rawatan ialah demam yang tinggi dan sawan yang susah dikawal.

Efusi subdura atau pengumpulan cecair di antara lapisan selaput otak terdapat dalam ramai pesakit meningitis.

Ia boleh mengakibatkan anak demam berpanjangan atau tekanan otak meningkat sehingga membahayakan kesihatan anak.

Malahan cecair ini juga boleh memanjangkan sawan anak dan jika gejala tenat, cecair tersebut terpaksa dikeluarkan melalui ubun-ubun kepala anak.

Bagaimanapun terdapat juga komplikasi lain yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa antaranya:

* Kurang pendengaran
* Timbul masalah neurologi seperti terencat akal atau tidak boleh berjalan.
* Buta
* Lembap belajar
* Sawan atau epilepsi

RAWATAN


* ANTIBIOTIK

Antibiotik yang sesuai boleh diberikan kepada mereka yang mendapat meningitis.

Jika pesakit berkenaan mendapat sawan, ubat sawan yang sesuai diberikan untuk mengawal sawan itu.

Tindakan ibu bapa membawa anak berjumpa doktor pakar adalah satu tindakan yang bijak dan dapat menyelamatkan anak daripada mendapat kesan yang lebih teruk.

* LUMBAR PUNCTURE (LP)

Sekiranya doktor berpendapat seseorang kanak-kanak atau bayi itu mendapat meningitis, doktor akan meminta agar lumbar puncture dilakukan selain memeriksa darah.

Lumbar puncture adalah satu prosedur di mana cecair tulang belakang diambil daripada pesakit untuk menentukan kuman dengan tepat.

Ini juga boleh menentukan antibiotik yang khusus serta tepat kebanyakannya bagi membunuh kuman tersebut.

Kebanyakan pesakit takut untuk menjalani LP kerana bimbang akan terencat akal, tidak boleh berjalan, bodoh dan sebagainya.

Namun ramai yang tidak tahu hakikatnya penyakit seperti lumpuh, tidak boleh berjalan dan lain-lain itu adalah disebabkan oleh penyakit itu sendiri dan bukannya disebabkan LP yang dijalankan oleh doktor.

LP adalah ujian yang tidak memudaratkan penyakit sebaliknya boleh memberikan maklumat mengenai penyakit itu sendiri.

Tambahan pula ia membolehkan doktor melakukan rawatan yang sesuai untuk mengubati penyakit berbahaya itu.

Sebelum LP dilakukan, keadaan seseorang pesakit diperiksa terlebih dahulu dan jika teruk seperti tekanan dalam otak terlalu tinggi, LP tidak akan dilakukan sehingga pesakit stabil.

LP adalah satu prosedur memeriksa cecair selaput otak dengan memasukkan jarum halus ke dalam tulang belakang (spine) pesakit dan membenarkan cecair serebrospina mengalir keluar ke dalam botol kecil untuk di hantar ke makmal hospital bagi memastikan jenis kuman yang dihidapi. Cecair tersebut yang dibiarkan keluar diletakkan ke dalam bekas yang disteril.

Specimen kemudiannya dihantar ke makmal untuk dibuat ujian bagi menentukan jenis kuman yang terdapat di dalamnya.

Melalui pemeriksaan cecair serebrospina, doktor dapat membezakan serta menentukan anak menghidap meningitis atau penyakit lain.

PENCEGAHAN

Walaupun penyakit ini penyakit yang berbahaya, bukan bermakna ia tidak boleh dicegah daripada berlaku.

Kini vaksin Hib boleh diberikan untuk mencegah daripada jangkitan kuman 'hemophilus influenzae' yang menyebabkan meningitis.

Kuman tersebut bukan sahaja menyebabkan meningitis tetapi juga boleh mengakibatkan penyakit lain seperti jangkitan telinga, otitis media dan radang paru-paru (pneumonia).

Vaksin atau imunisasi meningococcus yang sering diberikan kepada jemaah haji sama ada yang menunaikan haji atau umrah boleh mencegah daripada meningitis yang disebabkan oleh kuman 'neisseria meningitides'.

NASIHAT

Dr. Zulkifli menasihatkan ibu bapa supaya segera membawa anak-anak kepada doktor untuk memeriksa anak mendapat meningitis atau sebaliknya.

Ini kerana menurut beliau, tindakan ibu bapa yang melengah-lengahkan untuk berjumpa doktor akan membawa kesan buruk kepada anak jika mereka mendapat meningitis dan bukannya penyakit biasa lain.

''Pendapat doktor pakar perlu apabila ibu bapa mendapati tanda-tanda meningitis berlaku pada anak mereka,'' jelasnya.

Tambahnya, ibu bapa serta saudara-mara tidak perlu takut dengan ujian pengambilan tulang belakang atau lumbar puncture kerana ia adalah selamat dan tidak memudaratkan pesakit.

Sebaliknya jelas Dr. Zulkifli, penyakit meningitis yang tidak terkawal boleh meninggalkan kesan jangka panjang pada otak pesakit.

- Oleh Dr. Azlinariah Abdullah

Ke manakah lokasi percutian anda?