Bentuk hukuman dan bagaimana ia berjalan masih menjadi tanda tanya, yang pasti kebejatan sosial anak-anak muda hari ini perlu ditangani dengan cara paling berhemah, bukan dijalankan sekadar untuk menunjukkan pihak tertentu mengambil berat.
Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata tidak salah sekiranya kerajaan ingin mengenakan hukuman terhadap ibu bapa si penjenayah, tetapi bentuk hukuman bukan saja perlu jelas, sebaliknya pengertian ‘kecuaian’ yang dibebankan di bahu ibu bapa perlu diperjelaskan. “Keciciran anak di rumah kerana kealpaan bapa dan ibu, sekali gus menyebabkan keciciran anak di sekolah. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat. Kita perlu melihat situasi sesebuah keluarga secara mendalam sebelum mengambil tindakan kerana setiap keluarga, mempunyai latar belakang yang berbeza. “Segelintir ibu bapa sudah pun memainkan peranan, tetapi keadaan persekitaran hari ini terlalu kuat hingga menyebabkan ibu bapa sendiri menjadi buntu memikirkan masalah dihadapi anak-anak. Bukan pelik apabila kita mendengar ayah dan ibu bermati-matian mengatakan anak-anak mereka baik, pandai dan rajin. Bukan saja di rumah sebaliknya apabila di bawa berjalan atau menziarah ahli keluarga. “Tetapi selalunya ia hanyalah ‘lakonan’ anak-anak di depan orang tua untuk mengambil hati. Sebaliknya di belakang ibu bapa mereka menjadi remaja yang sukar dikawal. Dalam hal ini patutkah kita menyalahkan ibu bapa apabila suatu hari anak itu ditangkap melakukan kesalahan?,” katanya melontar persoalan apabila ditanya berhubung kewajaran ibu bapa dikenakan hukuman sekiranya anak-anak melakukan jenayah. Sebaliknya, Dr Mohammad Shatar berkata, hukuman dianggap sesuai dengan ibu bapa yang sudah tahu mengenai perilaku buruk anaknya, tetapi berdiam diri kerana tidak mahu mengambil tindakan kerana sikap buruk anak itu boleh mempengaruhi remaja lain sekiranya tidak dibendung pada peringkat awal lagi. “Kalau pihak sekolah sudah beritahu, dan jiran tetangga pun sudah mengadu, tetapi ibu bapa tetap berkeras mengatakan anaknya baik, dan suatu hari tertangkap, memang mereka patut dikenakan tindakan. Tetapi bentuk hukuman yang saya fikir wajar untuk menyedarkan ibu bapa ini ialah seperti khidmat kemasyarakatan atau kaunseling. “Itupun kita perlu melihat kesalahan dilakukan anak mereka, kalau membunuh kerana mempertahankan diri, tentulah berbeza dengan membunuh dengan niat,” katanya. Beliau berkata, seharusnya ibu bapa kembali kepada ajaran Islam berhubung cara didikan anak kerana ketika anak masih kecil, ibu bapa boleh berkawan dan bergurau senda, tetapi apabila semakin meningkat dewasa ibu bapa perlu terus memantau kegiatan anak. “Anak perlu dididik sesuai dengan zamannya. Kalau zaman dulu kita kita tahan dengan rotan, tetapi hari ini mungkin tidak sesuai lagi. Pernah dalam satu kes kendalian saya, seorang anak gadis orang alim melarikan diri bersama teman sejenis, sedangkan ayah dan ibunya memberikan didikan agama yang secukupnya. Tetapi apabila ditanya kepada anak gadisnya pula, katanya beliau bosan dikongkong. “Saya juga pernah bertanya kepada sekumpulan remaja, yang menyatakan kongkong bererti dilarang melakukan perkara yang ingin dilakukan, walaupun perkara yang diingini itu adalah berdosa. Hakikatnya zaman remaja berlaku segala macam pergolakan dalam diri individu. Sebagai ibu bapa kita jangan berputus asa mencuba, dan menangani masalah dihadapi,” katanya. Dr Mohammad Shatar berkata, dalam pada sayang, ibu bapa perlu meletakkan 50 peratus rasa curiga terhadap anak kerana sikap terlalu percaya akan menyebabkan anak tahu ‘membaca’ fikiran ibu bapa yang mana akhirnya ibu bapa yang mungkin akan terjerat dengan permainan mereka. “Kira-kira 10 tahun lalu, keluarga bermasalah, keluarga bercerai-berai dikaitkan penyumbang kepada masalah sosial anak-anak, tetapi kajian sosial menunjukkan faktor luaran seperti pengaruh kawan dan kehebatan teknologi maklumat komunikasi menjadi faktor utama remaja terjebak dengan gejala sosial. Kalau anak-anak kata ingin pergi kelas tambahan, perlu sesekali kita intip ke mana pergerakan anak ini. “Ini kerana anak remaja kini memang pintar. Dia akan memberikan alasan-alasan yang sedap didengari oleh ibu bapa untuk mengaburi perlakuan mereka di luar rumah. Kita boleh intip, betul atau tidak anak kita pergi ke kelas tambahan,” katanya. Dr Mohamad Shatar berkata, tidak pernah ada alasan terlewat untuk ibu bapa dan anak kembali ke pangkal jalan dalam usaha memastikan kesejahteraan hidup sekeluarga. Mengibaratkan anak sebagai harta bernilai, katanya kesilapan paling besar setiap ibu bapa ialah menyamakan anak, sedangkan setiap individu berbeza, malah ada kajian menunjukkan anak tengah lebih sukar dikawal berbanding anak sulung serta bongsu kerana yang tengah selalunya dipinggirkan daripada keluarga. “Saya ingin berkongsi kisah seorang remaja berusia 20 tahun ditangkap bersekedudukan dengan janda berusia 40 tahun hingga melahirkan seorang anak luar nikah. Ketika ditanya dalam sesi kaunseling, pemuda itu menyatakan beliau berbuat demikian semata-mata untuk menyedarkan ibunya bahawa dirinya itu wujud. “Lelaki berkenaan berkata, beliau berasa terasing apabila pada usia 12 tahun, ibunya sedang makan bersama seorang menantu lelaki, tetapi tidak mempelawanya makan. Ibunya mungkin terlupa atau tidak perasan kerana remaja itu baru saja pulang dari sekolah. Tetapi kita lihat bagaimana dendam itu berpanjangan dan kadangkala tidak masuk akal, tetapi berlaku dalam diri kanak-kanak. Sebab itu saya katakan, remaja adalah zaman rumit, mereka perlu didekati dan didengari isi hatinya supaya hidupnya kelak tidak terpesong dan rasa terpinggir,” katanya.
INFO: Panduan membesarkan anak: Jangan didik anak sama rata. Ada kajian menunjukkan anak tengah selalunya lebih bermasalah berbanding anak sulung dan bongsu kerana mereka selalu dipinggirkan oleh ibu bapa atau anak itu sendiri rasa terpinggir kerana ibu bapa selalu lebihkan anak sulung serta bongsu. Didik anak mengikut pada zamannya. Jangan didik anak seperti cara kita dididik oleh ibu bapa kita dulu kerana persekitaran serta pengaruh dulu berbeza dengan kini. Sekarang dikatakan zaman ICT maka ibu bapa perlu turut serta mengikuti apa itu facebook, twitter dan sebagainya. Boleh biarkan mereka meneroka alam siber, tetapi berilah panduan supaya mereka tidak terlalu larut. Menetapkan had masa umpamanya hanya satu jam dalam sehari, amat membantu. Bawalah anak-anak berbincang dan dengar luahan mereka secara harmoni. Elakkan pergaduhan ketika berbincang dan jangan gunakan kata-kata kesat sebab perkataan yang keluar daripada mulut adalah suatu doa. Sekiranya ibu bapa tidak bersetuju dengan saranan anak, berikan penjelasan yang jelas. Tidak salah mempunyai pembantu rumah atau tidak memasak sendiri di rumah, sebaliknya menyajikan anak dengan makanan dibeli atau di masak orang gaji, tetapi pastikan masa makan diperuntukkan bersama-sama dengan anak-anak. Kajian menunjukkan ahli keluarga yang dihantar ke muka pintu sebelum keluar rumah dengan memberikan kata-kata perangsang seperti ‘belajar rajin-rajin di sekolah’ dan ‘berhati-hati dalam perjalanan dan di tempat kerja’, dapat meningkatkan 70 peratus daripada produktiviti selain melekat kemas di dalam hati, berbanding sekiranya dibiarkan keluar rumah tanpa kata-kata sokongan. Jangan berhenti berdoa untuk kesejahteraan anak-anak serta ahli keluarga. Doa perlu konsisten dan bersungguh-sungguh kerana Allah sentiasa mendengar doa hambaNya.
No comments:
Post a Comment